KUALA LUMPUR 14 Nov - Tiada penamat membanggakan dilakar dua penunggang Moto3 negara, Khairul Idham Pawi dan Adam Norrodin di Grand Prix (GP) Valencia, Sepanyol yang juga perlumbaan penutup tirai musim 2016, malam tadi.

Berlumba bersama pasukan Honda Asia, Khairul Idham menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-25 manakala Adam yang beraksi dengan pasukan Drive M7 SIC Racing di tempat ke-27.

Keputusan di Litar Ricardo Tormo juga menyaksikan tiada mata kejuaraan berjaya dipungut kedua-dua pelumba negara itu yang pertama kali beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia, tahun ini.

Pelumba Afrika Selatan, Brad Binder yang juga juara dunia Moto3 2016 memenangi perlumbaan dengan catatan 40 minit 13.777 saat (s).

Ia diikuti pelumba Sepanyol, Joan Mir, ketinggalan+0.056s manakala pelumba Itali, Andrea Migno melengkapkan kedudukan podium.

Khairul Idham yang dikhabarkan akan beraksi dalam kelas Moto2 musim depan menamatkan saingan keseluruhan di kedudukan ke-19 selepas mengumpul 62 mata dengan dua kemenangan di GP Argentina dan Jerman.

Adam pula yang sah terus berlumba dalam kategori Moto3 musim depan berada di tangga ke-28 selepas mengumpul 14 mata.