IPOH 23 Nov - Seorang pekerja tadika berusia 59 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas empat pertuduhan memperdagangkan wanita untuk eksploitasi seks antara Mac hingga Ogos tahun ini.

Bagaimanapun, wanita terbabit, Pak Soh Kuen, tidak mengaku salah atas setiap pertuduhan dan meminta dibicarakan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Hotel Lucky, di Jalan CM Yusof di sini bersama seorang lagi yang masih bebas.

Dia dituduh memperdagangkan empat wanita warga Thailand, Suwanna Chankham, Duangjai Kanenok, Chinda Phonesaennok dan Natanicha Jaimoon bagi maksud eksploitasi seksual.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan serta jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fauzi Mohd Yusof di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohamad Tajuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Mahinderjit Singh.

Ikmal Hishan kemudian memerintahkan tertuduh membayar wang jaminan keseluruhan berjumlah RM20,000 iaitu masing-masing RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.