KUALA LUMPUR 19 Nov - Himpunan BERSIH 5 berakhir sebentar tadi dalam keadaan aman meskipun ribuan penyokong Baju Kuning dan Baju Merah membanjiri ibu negara selama hampir 12 jam di bawah pantauan polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Kekecohan berleluasa yang dikhuatiri hanya terhad kepada beberapa insiden kecil yang cepat di padamkan dengan tindakan pantas polis.

Hanya tiga tangkapan dibuat. Umumnya keadaan terkawal meskipun penyokong Baju Kuning dan Baju Merah berselisih di beberapa lokasi.

Lengkap dengan senjata api, gas pemedih mata dan pancutan air berkimia, lebih tujuh ribu polis dikerah untuk memastikan tunjuk perasaan hari ini tidak menggugat ketenteraman awam.

Polis menganggarkan peserta BERSIH 5 yang hadir sekitar 15,500 orang manakala kumpulan Baju Merah pula seramai 2,500 orang.

Penunjuk perasaan kedua-dua pihak akur kepada arahan polis dan tidak cuba meredah Dataran Merdeka.

Penyokong BERSIH 5 yang rata-rata penyokong pembangkang, melaungkan slogan-slogan anti kerajaan dalam keghairahan menuntut pilihan raya umum adil dan Datuk Seri Najib Tun Razak berundur.

Mereka di tentang oleh kumpulan Baju Merah yang menolak tunjuk perasaan BERSIH 5 sebagai demostrasi jalanan yang cuba menggulingkan pemimpin yang di lantik menerusi pilihan raya umum.

Kedua-dua pihak tidak mempedulikan arahan kerajaan untuk membatalkan tunjuk perasaan itu walaupun pemimpin-pemimpin utama mereka di tahan polis semalam dan awal pagi ini.

Mereka termasuk Ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos dan Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah serta pembantunya Mandeep Singh dan pemimpin DAP, Anthony Loke dan Ronie Liu.

Kuala Lumpur mula dibanjiri dengan lautan penyokong baju kuning dan merah seawal pukul lapan pagi di beberapa kawasan di pusat bandaraya Kuala Lumpur.

Antara yang hadir, siap berpakaian baju BERSIH 5 adalah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohammad, anaknya Mukriz dan presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketiga-tiga mereka pernah membidas BERSIH sebagai tunjuk perasaan haram namun selepas menyertai pembangkang Dr Mahathir, Muhkriz dan Muhyiddin berubah nada.

Mahathir yang lazim di kenali oleh pemimpin DAP dan PKR sebagai diktator, kini berkongsi pentas dengan mereka untuk menghasut rakyat menurunkan Najib.

"Kita mungkin terpaksa tunggu sehingga pilihan raya umum tetapi kita boleh berbua sesuatu untuk menjatuhkan Najib. Sama-sama kita fikir untuk pendekkan jawatan dia sebagai PM," kata Mahathir kepada penyokong Bersih sebelum mereka bersurai.

Seperti tahun lalu, BERSIH 5 tidak menarik ramai peserta Melayu, sekaligus menempelak janji-janji penganjur dan PKR, AMANAH dan PPBM.

Ia membuktikan tanpa sokongan PAS, BERSIH mahupun pembangkang agak tempang dalam menarik sokongan kaum Melayu.

Bagi PAS, matlamat dan objektif BERSIH sudah tergelincir daripada landasan justeru mereka enggan mengerah ahlinya untuk turun ke jalanan.

PAS mengambil pendirian itu selepas memutuskan hubungan politik DAP serta tidak menyertai gabungan baru Pakatan Harapan (PH). - Antarapos