KUALA LUMPUR: Kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) Islam hari ini memberi kata dua kepada Ahli Parlimen beragama Islam sama ada menyokong pindaan Rang Undang-undang bagi memperkasakan Mahkamah Syariah (RUU355) atau ditolak rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Mewakili badan NGO berkenaan, Pengerusi Sekretariat Ummat, Aminuddin Yahaya, berkata pihaknya akan berkempen menentang Ahli Parlimen Islam yang menolak pindaan tersebut menjelang PRU14 tidak lama lagi.

"Saya ingin tegaskan, kalau ada MP Islam yang menentang (RUU35), kita akan senaraikan mereka ini. Insya-Allah pada PRU14, kita akan berkempen di tempat mereka (bertanding), kita akan pergi dan jelaskan yang mana pemimpin ini yang menentang pemerkasaan undang-undang Islam.

"Jadi apa tujuan mereka (MP) duduk dalam Parlimen? Kenapa kita harus pilih mereka? Jadi perkara ini kita akan pergi kawasan mereka. Sebab itu kita beri kata dua kepada mereka. Mereka harus sokong perkara ini. Tiada sebab untuk mereka menentang," katanya di perkarangan Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu kira-kira 100 individu mewakili 500 NGO Islam mengadakan demonstrasi aman di perkarangan Parlimen pagi ini untuk menggesa semua Ahli Parlimen beragama Islam menyokong pindaan Rang Undang-undang bagi memperkasakan Mahkamah Syariah (RUU355) yang akan dibentangkan hari ini.

Demonstrasi itu juga sebagai tanda sokongan terhadap usaha Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul hadi Awang yang akan membentangkan RUU itu hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pihak yang menentang usul pindaan RUU 355 diminta memahami dengan teliti intipati pindaan RUU sebelum mengambil apa-apa keputusan.

Jelasnya, pindaan undang-undang tersebut tidak lebih daripada bertujuan untuk meningkatkan martabat dan memperkasa sistem perundangan Islam di negara ini.

Hadi akan membentangkan pindaan Usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali Akta 355 selepas bacaan kali pertama pada 26 Jun lalu.