KUALA LUMPUR 17 Nov - Parti Makkal Sakti semalam berarak dari Brickfields menuju ke Dataran Merdeka sebelum ke Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk membuat laporan polis bagi membantah demonstrasi Bersih 5 yang dijadualkan berlangsung pada 19 November depan.

Presidennya R.S Thanenthiran berkata, demonstrasi itu terpesong daripada niat asal iaitu untuk memastikan pilihan raya yang diadakan di dalam negara ini bersih dan adil.

"Tujuan badan bukan kerajaan (NGO) Bersih 2.0 hanya membantu Pakatan Harapan untuk mendesak Perdana Menteri Najib Razak untuk melepaskan jawatannya.

“Walaupun hari ini adalah hari Rabu (hari bekerja) tapi kami berjaya menurunkan ahli kami memakai baju oren untuk menyatakan Bersih bukan lagi bersih.

“Bersih 1, 2 dan 3 tidak seperti Bersih 5. Bersih 5 lebih berpihak dan menjadi kuda tunggang parti pembangkang.

“Jelajah mereka di seluruh Malaysia telah menunjukkan mereka telah dipergunakan parti pembangkang untuk tujuan politik mereka,” katanya, ketika ditemui Berita Daily di IPD Dang Wangi di sini semalam.

Beliau berkata, pada awal penubuhannya, perjuangan Bersih mahukan pilihan raya yang yang adil dan bersih namun sejak kebelakangan ini pembangkang dan mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menggunakan Bersih demi kepentingan politik masing-masing.

Bersih 2.0 tambah Thanenthiran telah menyalahgunakan kebebasan berhimpun yang diminta sebelum ini untuk membuat kekacauan sehingga berisiko menjejaskan keselamatan awam.

“Bersih menyalahgunakan kebebasan berhimpun yang diperkenalkan oleh Najib. Undang-undang membenarkan kita berhimpun tapi bukan sehingga mendatangkan kemudaratan.

“Kami khuatir keselamatan rakyat dan perniagaan akan terjejas dengan himpunan beramai-ramai ini,” katanya lagi.

Makkal Sakti bagaimanapun katanya menyatakan bahawa gerakan baju oren yang dicetuskan hari ini tidak menyebelahi Gerakan Baju Merah yang juga akan berhimpun pada Sabtu untuk membantah Bersih 5.

Sebaliknya beliau hanya berpendapat bahawa gerakan yang dipimpin oleh Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Yunos hanya wujud selepas Bersih berdegil untuk mengadakan himpunan.

“Kami tidak menyokong Baju Merah, mereka timbul oleh kerana Bersih. Mereka tidak dapat berdiam diri kerana pihak pembangkang gunakan Bersih. Mereka akan membela pemimpin mereka. Kalau baju kuning tidak turun mesti baju merah tidak akan turun, saya yakin” ujarnya.

Kira-kira 500 ahli dan penyokong Makkal Sakti dari seluruh negara hari ini berkumpul di hadapan Pejabat Polis Daerah Dang Wangi selepas berarak tengah hari tadi.

Sementara itu, Ketua Pemuda Makkal Sakti Manimaran Armugam mendakwa Bersih tidak layak untuk mendesak Najib meletakkan jawatan.

“Siapa mereka untuk mengatakan Najib perlu turun daripada pemerintahannya? Rakyat sendiri yang telah memilih tampuk pemerintahan,” katanya.

Beliau juga memberi amaran kepada Bersih agar tidak mengeluarkan tohmahan yang tidak sepatutnya ekoran tindakan parti itu hari ini.

Tegasnya, jika sebaliknya berlaku, Pemuda Makkal Sakti tidak akan teragak-agak untuk turun padang dan bersemuka dengan Bersih pada Sabtu ini.

“Selepas ini kalau Bersih menggunakan taktik kotor, melemparkan tohmahan kepada Makkal Sakti kami bersedia untuk turun membantah Bersih 5 pada Sabtu. Kami tidak mahu melakukannya tapi jangan provokasi kami,” tegasnya.