KUALA LUMPUR 16 Nov - Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Dato' Sri Jamal Md Yunos menyeru semua rakyat Malaysia bersama-sama menyokong Gerakan MERAH V2 untuk turun ke ibu kota pada 19 November ini bagi membantah Himpunan BERSIH 5.

Beliau berkata, pihaknya tidak sama sekali berundur walaupun pernah 'disepak dan diterajang' sehingga tercedera dari para penyokong BERSIH 5.

"Perhimpunan BERSIH merupakan ejen pembangkang yang dibiayai pihak luar menganggu kestabilan negara.

"Kami lancarkan Kumpulan MERAH V2 ini dengan objektif menentang BERSIH dan mempertahankan kedaulatan negara.

"Kami juga mnegerakkan ahli seluruh negara dengan rakyat Malaysia berbilang kaum termasuk anak muda dan golongan profesional kali ini," katanya kepada pemberita pada sidang media di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Beliau menegaskan, BERSIH 5 merupakan sebuah gerakan yang membawa misi kotor menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menyebarkan fitnah dan politik kebencian.

Katanya, BERSIH 5 ini juga menjadi dalang keretakan perpaduan dan toleransi dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Kami akan terus menentang BERSIH 5 kerana mereka terus menerus menyebarkan fitnah dakyah politik kebencian.

"Ia agenda jahat pembangkang dan wajib kita bersama-sama tentang," tegasnya.

Jamal juga berkata, BERSIH 5 disertai beberapa buah NGO yang memperjuangkan hak kebebasan kotor seperti hedonisme, LGBT yang bertentangan dengan budaya Timur di negara ini.

"Oleh itu, kami seru rakyat Malaysia bersama-sama dengan gerakan ini bagi menentang BERSIH 5 pada 19 November ini.

"Ayuh rakan-rakan seluruh warga Malaysia bersama-sama tunjuk sokongan, pakai baju merah dan turun di ke Kuala Lumpur atau mana-mana lokasi mereka," katanya.

BERSIH 5 dijadual bakal berlangsung pada 19 November ini dan menjadikan Dataran Merdeka sebagai lokasi utama himpunan.

Malah ianya buat pertama kalinya menjadi platform politik beberapa bekas pimpinan tertinggi kerajaan termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam misi menumbangkan kerajaan.