KUALA LUMPUR 15 Nov - Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menafikan bahawa parti pimpinannya bekerjasama dengan Umno-Barisan Nasional (BN), seperti yang didakwa bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.

Malah katanya, walaupun PAS sudah tidak bersama Pakatan Harapan (PH) tetapi parti itu tidak pernah bersengkongkol dengan parti yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Tidak betul, tidak betul (dakwaan PAS tidak sertai Pakatan Harapan adalah menyokong Umno-BN)," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Mahathir pada Konvensyen PH pada Sabtu lalu berkata, keengganan PAS menyertai PH adalah kerana mendapat dedak daripada Umno-BN.

Jelas Mahathir, mana-mana parti yang menghalang matlamat pembangkang untuk menewaskan Umno-BN adalah realitinya penyokong kepada kerajaan pimpinan Najib.

Jelas Ahli Parlimen Marang itu sokongan PAS hanyalah kepada perkara yang dilihat baik di mata parti itu, dan menolak perkara yang tidak baik yang menjejaskan rakyat.

"Ada tempat (perkara) kita sokong, ada tempat (perkara) kita tidak sokong. Kita sokong bukan bulat-bulat," ujar beliau sebelum meninggalkan Parlimen sebentar tadi.

Hadi turut diasak wartawan dengan pertanyaan pendirian PAS sama ada akan menyokong PH bagi menentang Umno-BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, namun pemimpin utama PAS itu hanya diam dan berlalu pergi.

Sebelum ini Mursyidul Amnya Hashim Jasin berkata PAS setuju dengan konsep satu lawan satu bagi menentang Umno-BN pada PRU akan datang.

Jelas Hashim, perkara itu mungkin memberi gambaran positif kepada pembangkang, namun ia terpulang kepada budi bicara rakan-rakan parti pembangkang.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Mahfodz Mohamed menegaskan PAS tidak akan berganjak dengan pendirian parti selagi musuh ketatnya, DAP dan AMANAH berada dalam Pakatan Harapan.

Tambahnya, pendirian tersebut akibat daripada sejarah yang dilalui oleh PAS ketika berada dalam Pakatan Rakyat sebelum ini.

"Dengan Pakatan Harapan, kita tiada apa-apa hubungan. Yang ada dengan PKR.

"Pendirian kita tidak berubah, selagi ada DAP dan AMANAH maka kita tidak akan ada kerjasama (dengan PH).

"Kita tidak mahu kena dua kali. Dulu dah kena, dia tak jaga kita, hentam kita, sekarang pun begitu juga," katanya.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dalam konvensyen sulung PH di Shah Alam, Sabtu lalu berkata masih mahu berusaha bagi memastikan pertandingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum akan datang.