AMPANG 14 Nov – Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Dato’ Seri Jamal Md Yunos menjelaskan bahawa beliau tidak sama sekali berniat untuk menuduh pihak polis telah menumbuk beliau ketika berlakunya insiden kekecohan pada Perhimpunan Gerakan MERAH V2 di Ampang semalam.

Beliau berkata, terdapat kekeliruan terhadap kenyataannya ketika berlakunya kejadian yang telah disalahtafsir beberapa pihak.

"Saya memberikan respons yang tersebar luas di dalam media sosial daripada semalam yang mengatakan saya menjerit polis pukul saya.

"Ketika itu berlaku pergelutan.

"Bukan saya sebut polis pukul saya.

"Saya memberitahu kepada pihak polis bahawa saya telah dipukul.

"Sebab itu saya meminta laluan kepada pihak polis untuk saya kejar individu yang tumbuk secara curi dari belakang sehingga berdarah.

"Itu maksud saya. Bukan saya jerit polis pukul saya. Bukan itu maksudnya.

"Tetapi mungkin dalam keadaan suasana yang agak kelam kabut pada ketika itu, saya seolah-olah dikatakan seperti menuduh polis memukul saya," katanya kepada pemberita pada sidang media di perkarangan Balai Polis Pandan Indah, di sini hari ini.

Dalam kejadian semalam, Jamal cedera pada muka dan hidungnya selepas diserang dan ditumbuk dalam kejadian dekat sebuah pasar raya di Ampang.

Beliau dipercayai telah diserang penyokong BERSIH sehingga menyebabkan berlaku pendarahan pada bahagian mukanya.