KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan tidak membuat sebarang keputusan berdasarkan faktor populariti, sebaliknya sikap tanggungjawab bagi memastikan negara yang akan diwarisi anak muda berada dalam keadaan terbaik.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bukan sahaja melihat inisiatif jangka pendek, malah untuk tempoh yang lama seperti Agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50).

"TN50 adalah satu inisiatif pimpinan akar umbi kerajaan, tetapi kita perlu suara dan cadangan mahasiswa hari ini yang akan memperkasakan lagi pelaksanaan TN50.

"Kita akan membuat keputusan selepas mendengar pandangan dan idea golongan mahasiswa.

"Kerajaan akan jadikan ia sebagai visi yang dimiliki rakyat dalam menentukan hala tuju negara," katanya selepas menutup Majlis Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional (Pemanas) di sini.

Yang turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Penaung Yayasan Minda; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Biro Pendidikan UMNO, Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah.

Dalam pada itu, Najib menekankan semua rakyat terutama mahasiswa perlu mempunyai hala tuju masing-masing untuk memberi sumbangan kepada negara.

"Hala tuju ini boleh dijadikan panduan bagaimana seorang individu boleh memperbaiki diri dalam masa lima hingga 10 tahun.

"Anak muda juga perlu mempunyai sikap daya saing dan kompetitif selari dengan perubahan teknologi terkini," katanya.