KUALA LUMPUR 15 Nov - Struktur penuh tambang perkhidmatan MRT Sungai Buloh - Kajang (MRT SBK) akan bermula dengan tambang nominal atau serendah RM1 untuk perjalanan satu hentian bagi struktur tambang tanpa tunai.

Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Ir Zohari Sulaiman berkata dalam satu kenyataan hari ini, tambang paling rendah untuk perjalanan satu hentian mengikut struktur tambang tunai pula adalah RM1.10 antara stesen Pasar Seni dan Merdeka.

Sementara itu, tambang maksimum adalah RM6.40 berdasarkan kepada struktur tambang tunai, dan RM5.50 berdasarkan tambang tanpa tunai, meliputi perjalanan penuh antara Sungai Buloh dan Kajang, sepanjang 51 kilometer membabitkan 31 stesen.

"Struktur tambang sudah diluluskan oleh Kerajaan dan adalah berdasarkan kepada bayaran masuk nominal dengan kadar menurun setiap empat hingga lima kilometer, sama seperti perkhidmatan LRT dan monorel.

"Seperti yang diamalkan untuk perkhidmatan LRT, monorel, dan bas Rapid KL, kami memberikan diskaun 50 peratus untuk tambang tunai kepada warga emas, pelajar dan golongan orang kurang upaya (OKU) yang menggunakan perkhidmatan MRT dan bas pengantara MRT. Kanak-kanak di bawah umur tujuh tahun boleh naik percuma" kata Zohari.

Jelasnya, Fasa 1 Laluan MRT SBK akan beroperasi secara sendirian, tanpa integrasi dengan rangkaian LRT dan monorel.

Oleh itu, kata Zohari pengguna MRT akan melalui pintu masuk dengan menggunakan token tunai ataupun Kad Touch & Go sahaja.

"Tambang nominal untuk perkhidmatan bas pengantara MRT adalah RM1 untuk satu perjalanan," kata Zohari.

Tambahnya, 120 bas pengantara MRT akan beroperasi di 26 laluan bagi semua 12 stesen MRT yang dibuka di bawah Fasa 1.

Sementara itu, jelasnya kad MyRapid, yang kini digunakan untuk perkhidmatan LRT, monorel dan bas Rapid KL, akan dinaikkan taraf secara berperingkat sebelum pembukaan Fasa 2 Laluan MRT SBK pada Julai depan.

"Kami akan memberi makluman terkini secara progresif pada masa akan datang dan persiapan akhir sedang dibuat untuk 12 stesen pertama bakal dibuka pertengahan Disember," kata Zohari.

Fasa 1 Laluan MRT SBK dijangka beroperasi dari 16 Disember 2016; meliputi 12 stesen antara Sungai Buloh dan Semantan.

Fasa 2 Laluan MRT SBK, meliputi baki 19 stesen antara Semantan dan Kajang, dijadualkan untuk beroperasi pada pertengahan Julai tahun depan.

Butiran penuh struktur tambang MRT boleh didapati di laman rasmi Rapid KL di www.myrapid.com.my dan akan turut dipaparkan di semua stesen MRT.