SITTWE 17 Nov - Ratusan umat Islam Rohingya di barat Myanmar melarikan diri ke Bangladesh dalam usaha mengelak daripada tindakan kejam tentera kerajaan yang sudah meragut lebih 130 nyawa setakat ini.

Malah ada di antara mereka yang ditembak ketika cuba menyeberangi Sungai Naaf yang memisahkan Myanmar dan Bangladesh.

Menurut pihak berkuasa Bangladesh ada antara pelarian Rohingya yang dihalau oleh pengawal sempadan mereka dan ada yang terkandas di laut.

Pertumpahan darah terkini itu adalah antara yang paling serius sejak beratus-ratus terbunuh dalam pergaduhan etnik di negeri Rakhine, barat Myanmar pada 2012.

Situasi itu mendedahkan kelemahan pentadbiran kerajaan parti di bawah pimpinan Aung San Suu Kyi yang baru berusia tujuh bulan untuk memantau tindakan tentera.

Tentera dikatakan berlegar di sepanjang kawasan antara Myanmar dan Bangladesh dalam usaha memburu pihak bertanggungjawab melakukan serangan terancang di tiga pos sempadan pada 9 Oktober hingga membunuh sembilan anggota polis.

Menurut diplomat dan petugas bantuan, tentera dikatakan menutup daerah yang diduduki majoriti penduduk Rohingya. Tentera juga menghalang petugas bantuan dan pemerhati bebas dan melakukan 'pembersihan' di kawasan kampung. - Reuters