Nampaknya tak habis-habis lagi isu penarikan diri Elly Mazlein dari program Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) menjadi bualan hangat di kalangan penggemar industri hiburan tanah air sejak dua menjak ini.

Terbaharu, pengacara Muzik-Muzik, Fara Fauzana pula menerima kecaman daripada peminat setia Elly apabila Fara dikatakan sengaja ‘memerli’ penyanyi kesayangan mereka itu.

Menerusi program live Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-31 yang berlangsung Jumaat lalu, Fara ada mengungkapkan sepotong ayat berbunyi, “Tok Ram (Datuk Ramli MS) jangan risau, tiada yang tarik diri di dalam program ini.”

Ayat itu diucapkan Fara saat memperkenal barisan juri yang mengadili senarai lagu untuk memasuki peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-31 yang bakal berlangsung Januari depan.

‘Sentap’ dengan ‘gurauan’ manja Fara, Elly terus meninggalkan komen di ruangan Instagram Fara, “Terima kasih @therealfafau. Nah bunga untuk awak. Meh nak cium sikit. Cuba lagi tau. Perli tadi tu tak berjaya sampai ke tulang kakak Lina.”

Isu penarikan diri Elly sebelum ini dikatakan susulan penyanyi itu terasa hati dengan komen yang dilemparkan oleh Tok Ram sebaik sahaja dia selesai menjayakan persembahan minggu keempat GV3.

Elly juga mengatakan pintu hatinya sudah tertutup untuk menyertai semula GV3 sekiranya imuniti berpihak kepadanya di masa akan datang.

Dalam konsert minggu kelima GV3 semalam, Shidi Data tersingkir walaupun memberikan persembahan yang cukup baik menerusi lagu Ratuku nyanyian asal Awie.

GV3 diadili juri tetap, Datuk Ramli MS dan Datuk Khatijah Ibrahim serta juri jemputan, Datuk Zainal Abidin.