KUALA LUMPUR 16 Okt - Saham di Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi buat dua hari berturut-turut minggu ini, susulan permintaan belian lebih baik disebabkan pengukuhan harga minyak yang melonjakkan sentimen pasaran.

Pada jam 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,636.53 mata, naik 5.97 mata daripada 1,630.56 penutup Selasa.

Indeks tempatan itu dibuka 2.47 mata lebih tinggi pada 1,633.03.

Kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 181 berbanding 89, manakala 166 kaunter tidak berubah, 1,257 tidak didagangkan dan 16 yang lain digantung.

Sejumlah 102.83 juta saham bertukar tangan bernilai RM50.08 juta.

Kenanga Research dalam satu nota berkata ia skeptikal berhubung daya tahan lantunan semalam, mengambil kira jumlah dagangan yang rendah.

"Satu-satunya insentif bagi sesi hari ini ialah lantunan semalaman kukuh dalam harga minyak mentah, yang dijangka menawarkan peluang bagi bursa tempatan mencari paras tertinggi baharu," katanya.

Malam tadi, dagangan hadapan minyak mentah Brent Crude ditutup pada AS$46.95 satu tong, naik AS$2.52 atau 5.7 peratus, kenaikan terbesar sejak 28 September.

Dalam kalangan kaunter utama, TNB naik 10 sen kepada RM14.26, Maybank menokok empat sen kepada RM7.82 dan Public Bank mendatar pada RM19.70.

Dalam kalangan kaunter aktif, Hibiscus Petroleum menambah satu sen kepada 28.5 sen, Vivocom mendatar pada 18 sen dan JAG naik setengah sen kepada 11 sen.

Indeks FBM EMAS menambah 38.76 mata kepada 11,523.33, FBMT100 naik 38.85 mata kepada 11,234.52 dan FBM EMAS Syariah menambah 33.47 mata kepada 12,118.02.

FBM 70 menokok 38.51 mata kepada 13,986.17 dan FBM ACE naik 37.8 mata kepada 5,021.43.