KUALA LUMPUR 14 Nov - PETRONAS dan entiti kerajaan negeri Sarawak, Yayasan Hartanah Bumiputera Sarawak (YHBS) merancang untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan awal untuk cadangan projek kilang metanol di Bintulu.

Mengikut kenyataan Petronas di sini, mereka akan menilai daya maju teknikal dan komersial serta kebolehlaksanaan memajukan metanol di samping pembangunan kompleks derivatif metanol di Taman Perindustrian Samalaju, kira-kira 65 kilometer dari Bintulu.

Memorandum persefahaman (MoU) berkaitan usaha sama itu dimeterai hari ini di Kuching.

Menurut Petronas, ia turut memeterai perjanjian induk (HoA) dengan Huchems Fine Chemical Malaysia Sdn Bhd (Huchems) untuk membekalkan 58 juta standard meter padu sehari gas asli.

Bekalan itu untuk kilang petrokimia Huchems yang dirancang di taman perindustrian yang sama bagi tempoh 20 tahun bagi tujuan menghasilkan ammonia dan derivatif ammonia.

Menurut Petronas, kedua-dua perjanjian itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Petronas untuk bekerjasama dengan kerajaan Sarawak bagi mengubah negeri itu menjadi hab petrokimia di rantau ini.