KUALA LUMPUR 17 Okt - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, membentangkan usul di Dewan Rakyat bagi mengiktiraf dan mengucapkan tahniah kepada kontinjen Olimpik dan Paralimpik negara di Rio 2016 kerana prestasi terbaik Malaysia.

Sebaik dibenarkan mengemukakan usul berkenaan, Khairy memperkenalkan penerima pingat yang turut dibawa masuk ke Dewan Rakyat.

Mereka yang hadir adalah penerima pingat emas Sukan Paralimpik, Abdul Latif Romly, Muhammad Ziyad Zolkelfi dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi serta penerima pingat gangsa, Siti Noor Radiah Ismail.

Atlet Olimpik yang hadir adalah pemenang pingat perak, Pandelela Rinong dan pemenang pingat gangsa, Azizulhasni Awang.

Khairy berkata, Dewan Rakyat meraikan detik kebersatuan yang dicipta kontinjen Olimpik dan Paralimpik Rio 2016 melalui kejayaan bersejarah yang dilakar khusus untuk membawa pulang pingat buat Malaysia.

"Dewan Rakyat perlu mempersetujui keputusan kerajaan memberi insentif kepada atlet biasa dan atlet kelainan upaya yang memenangi pingat serta meminta pihak swasta, media dan komuniti masyarakat mengekalkan tahap sokongan kepada atlet tanah air.

"Dewan Rakyat juga menyokong segala usaha untuk mengekalkan momentum kejayaan sukan Malaysia ke arah Sukan SEA dan Sukan Paralimpik ASEAN di Kuala Lumpur pada 2017," katanya yang membentangkan usul berkenaan selepas sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Khairy turut meminta persetujuan Dewan Rakyat supaya semua pihak berkaitan memberi sokongan tidak berbelah bahagi dalam menjayakan agenda nasional ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara bersukan.