KUALA LUMPUR 14 Okt - Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah merakam 1 minit 53.427 saat pada sesi latihan bebas pertama Grand Prix (GP) Jepun, sebentar tadi.

Catatan pelumba PETRONAS Raceline itu diraih pada penghujung 16 pusingan yang dilakukannya di sirkit Twin Ring Motegi bagi membolehkannya berada di kedudukan ke-20 sesi berkenaan.

Pelumba tuan rumah yang mewakili pasukan IDEMITSU Honda Team Asia, Takaaki Nakagami mencatat masa sepusingan terpantas bagi sesi berkenaan dengan 1'51.816s.

Catatan kedua terpantas dilakukan pendahulu kelas Moto2, Johann Zarco dari pasukan Ajo Motorsport dengan 1'51.975s manakala Lorenzo Baldassari (Forward Team) ketiga, 1'52.068s.

Untuk rekod, selepas 14 perlumbaan musim, Hafizh kini berada di kedudukan kelapan keseluruhan dengan kutipan 103 mata.

Pada perlumbaan di GP Aragon, 25 September lalu, pelumba dari Program Pembangunan Bakat PETRONAS itu menamatkan saingan di tangga ke-14 untuk membolehkannya meraih dua mata berharga.

Sesi latihan bebas kedua untuk kelas Moto2 GP Jepun dijadual berlangsung pada jam 1.05 petang ini.