JOHANNESBURG 9 Okt - Tiga gol dalam tempoh sembilan minit membolehkan Ivory Coast mengetepikan Mali 3-1 dalam aksi kelayakan Piala Dunia, pagi tadi sambil Burkina Faso terikat 1-1 dengan Afrika Selatan yang mensia-siakan dua penalti.

Republik Congo membelasah Libya 4-0, Senegal mengatasi Cape Verde 2-0 dan Gabon terikat tanpa jaringan bersama Maghribi dalam aksi hari pertama kelayakan negara Afrika.

Bagaimanapun, Sambou Yatabare terlebih dulu mengejutkan juara Afrika, Ivory Coast seawal minit ke-18 selepas bijak menyambut hantaran jauh untuk melakukan cip melepasi jangkauan penjaga gol Sylvain Gbohouo.

Tetapi, skuad bimbingan Michel Dussuyer menjawab segera dengan merobek gawang Mali menerusi jaringan Jonathan Kodjia pada minit ke-26, Gervinho (m-31) dan gol sendiri Salif Coulibaly (m-34).

Ia adalah permulaan cemerlang Ivory Coast yang pernah beraksi sebanyak tiga kali di Piala Dunia dalam Kumpulan C, terutama dengan pencabar utama Maghribi terikat 0-0 dengan Gabon.

Sementara itu, Afrika Selatan melepaskan kelebihan pada masa tambahan untuk sekadar mengutip satu mata dalam aksi pembukaan Kumpulan D di Burkina Faso.

Jaringan pembukaan Dean Furman pada minit ke-80 dipadamkan oleh jaringan penyamaan masa tambahan Banou Diawara , selepas pertahanan Bafana Bafana terperangkap dengan serangan kilat skuad tuan rumah.

Burkina Faso turut melepaskan dua penalti, dengan Itumeleng Khune menyelamatkan sepakan penalti babak pertama Jonathan Pitroipa sebelum rembatan Alain Traore daripada jarak 12 kaki melambung tinggi. - AFP