ZURICH: Chile digantung satu perlawanan tanpa stadium, didenda bersama lima lagi negara selepas penonton mereka didapati bersalah melaungkan sorakan anti-homoseksual, kata Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), semalam.

Awal tahun ini, Chile turut digantung dua perlawanan, dengan satu daripadanya disebabkan kesalahan sama.

Sudah pun bermain satu perlawanan di luar stadium nasional di Santiago, mereka kini perlu mencari venue baru bagi perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Venezuela, Mac tahun depan, kata badan induk itu.

FIFA menghukum Chile atas kesalahan yang dilakukan pada perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Bolivia pada September lalu.

"Kerana Chile sudah pun melakukan satu lagi pelanggaran dalam tempoh percubaan yang dikenakan pada Mei 2016, larangan bermain di Stadium Nasional Julio Martinez Pradanos di Santiago bagi perlawanan selepas ini akan dilakukan," kata FIFA dalam satu kenyataan.

Chile juga didenda secara keseluruhan AS$66,421 dolar (RM275,570) bagi dua kesalahan yang dilakukan oleh penyokong mereka yang turut didapati bersalah menggunakan 'sorakan menghina' ketika pertembungan dengan Paraguay, September lalu.

Chile ketika ini menghuni tangga ketujuh kempen kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan selepas mengumpul 11 mata daripada lapan perlawanan, dua mata daripada kedudukan empat teratas yang akan mengesahkan laluan terus ke Russia pada 2018.

FIFA dalam pada itu turut mendenda Honduras 65,000 Swiss francs (RM275,544), El Salvador 45,000 Swiss francs (RM190,761), Mexico dan Peru, 30,000 Swiss francs (RM127,174) serta Brazil 20,000 Swiss francs (RM84,782) atas kesalahan sama.

Itali, Argentina, Kanada, Paraguay dan Albania juga didenda di antara 20,000 ke 50,000 Swiss francs (RM84,782 ke RM211,957) atas "Insiden membabitkan diskriminasi dan semangat tidak kesukanan yang dibuat penyokong mereka." - Reuters