KUALA LUMPUR 19 Okt - Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Pemimpin kumpulan Baju Merah, Dato' Jamal Md Yunos ditahan pihak polis pagi ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Sepang awal pagi tadi.

Beliau yang memimpin Gerakan MERAH V2 itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman pada pukul 8.30 pagi tadi sejurus tiba dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum dibawa ke Balai Polis Dang Wangi di sini.

Turut ditahan Presiden Pertubuhan Mesra Setiakawan Malaysia (PMSM), Mohd Azli Jaafar yang didakwa mengendalikan laman facebook Jamal.

Penasihat Undang-Undang Gerakan MERAH V2, Mohd Imran Tamrin ketika ditemui pemberita berkata, Jamal bersama rakannya itu ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan fitnah, Seksyen 504 kanun sama atas kesalahan pecah keamanan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan pihaknya akan menyiasat Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar itu berhubung dakwaan amaran mengenai 'rusuhan 13 Mei' sekiranya konvoi dan perhimpunan Bersih diteruskan.

Katanya, pihak polis juga akan menunggu kepulangan Jamal dari luar negara untuk merakamkan kenyataannya mengenai pertembungan di antara baju merah dan konvoi BERSIH 5 di Sabak Bernam, Selangor, dua minggu lalu.

Jamal bagaimanapun telah menafikan sekeras-kerasnya ada mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai 'rusuhan 13 Mei' dan mendakwa akaun facebook itu merupakan palsu yang dikendalikan individu yang tidak bertanggungjawab menggunakan namanya.

Dalam pada itu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Armand Azha Abu Hanifah berkata, Gerakan MERAH V2 telah membuktikan sikap keterbukaan mereka dalam mengikut undang-undang dan pihak polis.

Armand yang kurang bersetuju dengan cara penangkapan Jamal menegaskan, pihaknya mendesak pihak polis turut menangkap Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah dan bekas penyandang jawatan itu, Datuk Ambiga Sreenevasan kerana seraca terang-terangan melanggar undang-undang meneruskan jelajah BERSIH 5 walaupun tidak mendapat permit.