KUALA LUMPUR 20 Okt - Sentimen perkauman dan isu agama tidak seharusnya dipolitikkan untuk kepentingan mana-mana pihak menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengingatkan, perbuatan itu hanya mencetuskan kekeliruan dan ketegangan dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

"Mana-mana parti politik terutama DAP dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) jangan cuba menyalakan api perkauman, jangan cuba mainkan isu agama sehingga membangkitkan keresahan dan kemarahan rakyat.

"Semua pihak terutama pemimpin parti politik perlu mengutamakan perpaduan antara kaum dan mengamalkan sikap bertolak ansur bagi menjamin kesejahteraan dan kemananan rakyat.

"Sejak akhir-akhir ini, dilihat seperti disengajakan apabila ada pihak termasuk mereka yang berselindung disebalik NGO mempolitikkan isu perkauman dan menimbulkan kekeliruan bersabit isu agama," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Syed Ali yang juga Bendahari Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan turut kesal kerana ada di kalangan bukan Islam secara terbuka mempersoalkan dan mempertikaikan syariat Islam sehingga mengguris hati penganut agama Islam.

"Niat mereka untuk menguji tahap kesabaran orang Melayu, umat Islam dan UMNO itu sendiri, mereka mahu membangkitkan kemarahan sehingga berlaku sesuatu yang tidak diigini.

"Islam sebagai agama rasmi sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang turut mencangkupi cabang ajarannya yang perlu dihormati dan tidak boleh dipersoalkan lagi kewajarannya.

"Justeru, tidak wajar bagi mana-mana pihak khususnya bukan Islam untuk mengeluarkan pandangan negatif atau cadangan berasaskan perkiraan akal termasuk mengubah ketetapan hukum yang terkandung dalam ajaran tersebut," jelasnya.

Tegasnya, pemimpin politik termasuk badan NGO juga diingatkan supaya lebih memahami bahawa orang Melayu dan umat Islam amat sensitif sekirannya ajaran dan syariat Islam dipersenda atau dipersoalkan kemuliaannya.

"Pemimpin politik terutama blok pembangkang perlu lebih berhemah dan menghormati prinsip dan asas kebebasan beragama di negara ini.

"Agama tidak sepatutnya dipolitikkan oleh pihak tertentu untuk menampakkan diri mereka sebagai juara, percaturan sedemikian ternyata silap dan hanya mengundang kemarahan orang Melayu dan umat Islam," katanya.

Selain itu ujarnya, tindakan pihak tertentu yang mempolitikkan isu perkauman akan memberi gambaran bahawa negara ini sedang berdepan dengan krisisi etnik dan budaya yang membimbangkan walaupun keadaan tidak seperti yang digambarkan.

Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri berkata, walaupun negara ini merangkumi rakyat pelbagai kaum dan etnik serta budaya serta adat resam tetapi status orang Melayu dan hak pribumi tidak perlu dipertikaikan.

"Kumpulan ini perlu menerima hakikat bahawa kesejahteraan rakyat dan keamaan negara kerana adanya parti yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu, iaitu UMNO sebagai teras kepada kerajaan BN.

"Walaupun UMNO mendominasi pembentukan Kerajaan Persekutuan, kedudukan dan taraf hidup bukan Melayu sentiasa dijaga dan turut diberikan keuatamaan," jelasnya.

Justeru, Syed Ali berkata, tidak ada mana-mana pihak boleh menafikan sumbangan dan peranan UMNO dan komponen BN dalam membentuk kerukunan hidup rakyat pelbagai kaum di negara ini.

"Memang benar UMNO itu Melayu, tetapi wadah perjuangan UMNO merentasi sempadan kaum.

"Walaupun senario politik negara sedang mengalami pembaharauan dan perubahan tetapi tidak bermakna sentimen kaum dan agama boleh dijadikan alat kepada kepentingan politik.

"Pembaharuan yang berlaku seiring dengan perubahan masa akan mematangkan lagi tahap kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap keberkesanan sesebuah parti politik," jelasnya.

Katanya, rakyat terutama generasi muda yang bakal menjadi penentu kepada keputusan PRU akan datang mempunyai lebih kebebasan untuk membuat pilihan terbaik bagi masa depan negara.

"Oleh sebab itu, salah satu reformasi politik dilakukan oleh UMNO ialah mendekati dan menyantuni golongan muda dan setakat ini, kita berasa bangga kerana anak muda memahami dan mula mendekati perjuangan UMNO," tegasnya.