SEKINCHAN 15 Okt - Gerakan Merah V2 memilih kerja kebajikan dengan bergotong-royong membina benteng menggunakan guni pasir sebagai persediaan menghadapi fenomena air pasang besar berbanding berdepan dengan konvoi Bersih 5 dari Sekinchan ke Tanjong Karang.

Penasihat Undang-Undang Gerakan Merah V2, Mohd Imran Tamrin berkata, kumpulan itu berada di Sekinchan sejak kelmarin bertujuan membantu penduduk tempatan bagi mengelakkan kediaman dan tanaman pertanian mereka musnah.

"Pada masa ini, fokus membantu rakyat adalah lebih utama berbanding apa yang dilakukan baju kuning yang hanya bercakap dan menabur fitnah kepada kepimpinan dan kerajaan sedia ada.

“Walaupun pertembungan antara merah dan kuning tidak berlaku, tetapi mesej yang kita nak sampaikan tetap sama iaitu di mana kuning berada di situ juga merah ada, tetapi fokus dan objektif kita berbeza iaitu membantu anak-anak dan penduduk kampung menghadapi air pasang,” katanya.

Mohd Imran berkata, kumpulan yang terdiri daripada sukarelawan itu turun padang bersama-sama bagi menggembeleng tenaga untuk membantu kesejahteraan rakyat dalam menghadapi fenomena air pasang besar.

“Kita boleh lihat apakah Bersih ini mempunyai objektif yang jelas untuk membantu mentransformasi negara, sedangkan mereka hanya sekadar omong omong kosong dan menabur fitnah,” katanya.

Mengulas lanjut gotong-royong membina benteng itu, Mohd Imran berkata, kira-kira 200 sukarelawan terdiri daripada penyokong berbaju merah terlibat dalam aktiviti itu yang bermula di Parit 5 Sekinchan.

“Kerja meninggikan benteng menggunakan guni pasir ini diharap dapat mengurangkan impak fenomena air pasang besar yang dijangka melanda esok,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 3, 000 guni pasir dengan muatan 100 metrik tan digunakan bagi meninggikan benteng sepanjang kira-kira 1.5 kilometer masing-masing di pesisir pantai Sekinchan dan Parit 5 Ban Sekinchan, di sini.