PUTRAJAYA 12 Okt - Penyokong Mohd Saiful Bukhari Azlan hari ini berkumpul di luar Mahkamah Persekutuan bagi menunjukkan solidariti kepada mangsa liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Penyokong Saiful  berhimpun di luar Istana Kehakiman, sekitar 10 pagi ini.

Salleh Ismail yang mengetuai kumpulan itu, melaungkan slogan sepanduk dan kain rentang memperjuangkan “Keadilan untuk Saiful”.

Beliau berkata, mereka menentang perbicaraan Anwar yang sering ditangguhkan dan menyifatkan tindakan merujuk bekas ketua pembangkang itu sebagai tahanan politik, tidak munasabah.

“Kami berada di sini hari ini kerana Anwar masih tidak boleh menjelaskan bagaimana sperma dia ditemui di badan Saiful.

“Malah, peguamnya juga tidak boleh menjelaskannya dan mereka menangguhkan perbicaraan sebanyak 69 kali. Sebaliknya, mereka asyik kata Anwar adalah tahanan politik,” katanya.

Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun, selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015, memohon untuk mengetepikan keputusan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, yang mendapati dia bersalah meliwat Saiful Bukhari, pada 2008.