KUALA LUMPUR 11 Okt - Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Dato' Sri Jamal Md Yunos yakin akaun facebook palsu yang menggunakan nama beliau didalangi kumpulan BERSIH 5.

Beliau berkata, ianya sebagai tindak balas terhadap tindakan Gerakan MERAH V2 yang berjaya menggagalkan perancangan kotor BERSIH 5 menerusi konvoi yang dilancarkan di seluruh negara bermula 1 Oktober lalu.

"Akaun FB saya telah ditutup oleh MCMC.

"Akaun FB tersebut adalah akaun palsu yang saya yakin dipalsukan oleh kumpulan BERSIH 5 yang mana mereka kecewa dan marah kepada saya kerana berjaya menggagalkan semua konvoi yang mereka nak buat.

"Jadi, sebab itu mereka cuba mencari jalan lain untuk bertindak balas.

"Saya yakin kebenaran dan keadilan akan berlaku di situ kerana sistem perundangan negara kita ini sama rata dan sama adil serta keadilan ini akan membawa kebenaran," katanya memetik laporan Malaysiakini semalam.

Beliau turut memberi reaksi terhadap penutupan kesemua akaun facebook yang menggunakan namanya termasuk akaun facebook beliau yang sebenar.

"Semua akaun FB yang menyerupai akaun saya Jamal Md Yunos atau JamalYunos serta yang ada gambar saya, termasuk FB original saya ditutup oleh pihak FB dan MCMC semenjak malam tadi," katanya.

Jamal bagaimanapun menjelaskan, akaun asli miliknya dipercayai akan dapat diaktifkan semula tidak lama lagi.

Katanya, akaun berkenaan - yang didakwa beliau miliknya yang sebenar - tidak boleh dikemas kini selama tiga hari.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan polis menjalankan siasatan ke atas Jamal ekoran kenyataan di satu akaun Facebook di bawah nama "Dato Jamal Yunos" dianggap menghasut.

Jamal bagaimanapun mendakwa kenyataan yang turut mengaitkan insiden 13 Mei dan "parang terbang" itu dipalsukan.

Belau juga menuding jari kepada DAP sebagai dalang pemalsuan berkenaan.

Berikutan perkara tersebut, satu laporan polis telah dibuat Presiden Pertubuhan Mesra Setiakawan Malaysia (PMSM), Mohd Azli Jaafar di Ibu Pejabat Polis Sabak Bernam.

Aduan juga dibuat kepada pihak MCMC.

Laporan menyebut posting didakwa palsu oleh Jamal itu mendapat reaksi agak luar biasa iaitu 2.8 juta like, 4.8 juta komen dan 6,209 perkongsian.