KUALA LUMPUR 24 Okt - Seorang akademik mempertahankan rang undang-undang bagi memperluaskan kuasa mahkamah syariah, menyifatkan usaha itu sebahagian daripada “nahi mungkar” (mencegah kemungkaran) yang digariskan Islam.

Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Sham Rahayu Ab Aziz berkata ia melengkapkan aspek pendidikan Islam dalam membentuk akhlak penganutnya.

“Memang tidak boleh menghukum jika tidak dididik, tetapi pendidikan sahaja tidak lengkap. Ia bergerak selari dan aspek mencegah kemungkaran ini ada dalam undang-undang (syariah),” katanya dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini.

Katanya lagi, kebanyakan perkara yang termaktub dalam undang-undang syariah di Malaysia adalah tentang prinsip moral yang ditetapkan sebagai kesalahan dalam undang-undang.

“Hal yang dianggap tidak bermoral boleh dianggap jenayah, atau dosa sahaja. Dengan perdebatan di peringkat legislatif dan keputusan pihak berkuasa, sebahagiannya diputuskan sebagai memberi keburukan kepada negara dan juga orang Islam dan dijadikan jenayah.

“Akhlak sangat penting dalam syariah, dan bahagian utama dalam mahkamah syariah,” katanya lagi.

Beliau mengaitkan peningkatan statistik kelahiran anak luar nikah dengan kepentingan menaikkan hukuman bagi kesalahan zina di bawah syariah.

Isu dosa peribadi dan jenayah seperti yang dapat dilihat dalam kes penangkapan “khalwat” sering diperdebatkan, dan penguatkuasa agama kerap dikritik kerana menceroboh ruang peribadi masyarakat.

Awal bulan lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melancarkan aplikasi “Amar” yang membolehkan orang ramai membuat aduan berserta gambar berhubung kesalahan syariah seperti khalwat dan ajaran sesat.

Mei lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awnag mengusulkan RUU meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, bertujuan meningkatkan hukuman ke atas pesalah syariah.

Mahkamah syariah pada masa ini dihadkan menjatuhkan hukuman kepada denda tidak lebih RM5,000, penjara tidak lebih 3 tahun dan 6 sebatan.

Sementara itu, ahli sekretariat pertubuhan dikenali “Ummat Menyokong Memperkasa Akta 355”, Zainal Zainuddin, berkata had hukuman mahkamah syariah perlu ditingkatkan agar sesuai dengan tuntutan semasa.

“Kali terakhir ia dipinda pada 1984. Undang-undang sentiasa dipinda agar sesuai dengan keperluan awam dan negara.

“Bayangkan individu yang mengaku menjadi nabi hanya boleh dihukum denda RM5,000 dan 3 tahun penjara, manakala pesalah (kes sivil) yang memiliki haiwan terancam tanpa permit boleh dipenjara lebih lama tahun dan didenda ratusan ribu ringgit. Ia jauh berbeza dan perlu dinilai secara sepatutnya,” katanya.

Sebelum pindaan 1984, had hukuman mahkamah syariah adalah denda tidak lebih RM1,000 dan penjara tidak lebih 6 bulan.

Zainal berkata, usul yang dibawa Hadi hanya untuk meningkatkan hukuman, bukannya memperkenalkan hudud seperti dakwaan sesetengah pihak.