MELAKA 9 Okt - Golongan bumiputera terutamanya usahawan seharusnya diberi ruang merebut segala peluang dijana menerusi Projek Kereta Api Laju (HSR) Kuala Lumpur ke Singapura, dan bukan menjadi watak ‘tukang tengok’ dalam projek tersebut.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Tan Sri Dr Abdul Rahim Tamby Chik berkata dalam projek mega seperti HSR, penyertaan bumiputera perlu menjadi suatu dasar yang dijadikan landasan untuk pelaksanaan projek tersebut pada semua peringkat.

Beliau berkata kerajaan melalui pelbagai badan seperti Majlis Ekonomi Bumiputera dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) meletak dasar tegas bagi memberi ruang kepada bumiputera untuk menyertai projek mega seumpama itu.

“Masalahnya bila sampai ke bawah dasar (penyertaan bumiputera) yang begitu tegas ini jadi pudar, jadi kami mahu perkasakan dasar beri peluang kepada bumiputera dalam bidang sesuai dilakukannya supaya (dasar itu) dapat menjadi tegas di semua peringkat.

“Daripada mula sampai habis projek perlu ada penglibatan bumiputera, kita tidak mahu (bumiputera) setakat memandang jadi pemerhati atau tukang tengok sahaja kepada program besar ini, ini akan menimbulkan kemarahan rakyat terutama bumiputera,” katanya kepada Bernama.

Projek HSR yang dijangka siap sekitar tahun 2026 melibatkan pembinaan landasan sepanjang 350km dan mengurangkan masa perjalanan kepada 90 minit antara Kuala Lumpur dan Singapura, dengan kelajuan lebih 300km/sejam.

Projek itu dirancang untuk mempunyai 8 stesen yang bakal menjadi pusat pertumbuhan baharu iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

Abdul Rahim berkata selain peluang dalam pembinaan projek tersebut, golongan bumiputera perlu diberi peluang untuk terlibat dalam pertumbuhan ekonomi di kawasan stesen Projek HSR.

Beliau berkata penyertaan bumiputera seharusnya ada dalam usaha membina infrastruktur, kawasan komersial dan fasiliti untuk keselesaan pelanggan dalam kawasan pertumbuhan baharu itu.

“Fasiliti pertumbuhan ekonomi seperti pusat membeli-belah, kedai makan dan kedai lain kita minta secara tegas komponen penglibatan bumiputera dimasukkan dalam kawasan pertumbuhan tersebut,” katanya.

Bagaimanapun Abdul Rahim menegaskan segala peluang yang diberikan kepada bumiputera dalam projek itu tidak sepatutnya disia-siakan golongan itu dan bumiputera perlu berusaha sedaya upaya untuk merebut segala peluang yang dijana melalui projek tersebut.

Beliau berkata kerajaan dan badan terlibat mampu memberikan peluang dalam projek mega kepada bumiputera melalui dasar yang digubal, justeru golongan bumiputera sendiri perlu bersikap proaktif dalam merebut segala peluang yang ada dan melaksanakan peluang yang diberi itu dengan sebaiknya.

Dalam pada itu, Abdul Rahim menempelak sikap sesetengah pihak yang memandang sinis terhadap keupayaan syarikat bumiputera untuk terlibat dalam projek mega seperti Projek HSR.

Katanya persepsi seperti syarikat dan usahawan bumiputera tiada modal serta kepakaran atau teknologi diperlukan untuk terlibat dalam projek mega adalah persepsi negatif yang harus dihapuskan oleh semua pihak.

“Dalam Teraju sahaja kita punyai beratus-ratus syarikat bumiputera dari seluruh negara yang berkemampuan dalam pelbagai bidang untuk terlibat dalam projek besar seperti HSR, syarikat ini mempunyai apa yang diperlukan untuk terlibat dengan projek tersebut.

“Tiada alasan kata tidak boleh beri kepada bumiputera kerana tiada syarikat atau tokoh (usahawan) berwibawa. Mereka semua bersedia dengan modal, kepakaran dan teknologi untuk terlibat dengan projek ini,” katanya.

Beliau berkata Gabem juga bersedia untuk membantu pihak yang terlibat dalam projek itu untuk mengenal pasti syarikat bumiputera yang sesuai untuk Projek HSR tersebut.