RIO DE JANEIRO 18 Okt - Kejadian rusuhan di dua penjara di Brazil meragut sekurang-kurangnya 18 nyawa dengan ada yang memenggal kepala pesaing mereka dan membakar yang lain secara hidup-hidup.

Tahanan turut menjadikan dua pelawat wanita sebagai tebusan, kata pegawai yang merujuk pergaduhan dicetuskan oleh dua kumpulan banduan terdiri penjenayah terbesar di negara itu.

Ia adalah kejadian keganasan ngeri kedua melanda penjara Brazil akibat kekurangan dana serta keadaan sesak di dalam penjara.

Pergaduhan antara dua kumpulan bermusuhan dalam penjara di Negeri Roraima menyebabkan 10 maut pada Ahad, kata jurucakap kerajaan tempatan, Jessica Laurie.

"Banduan bersenjatakan batu dan kepingan kayu yang dikoyak daripada dinding. Mereka menggunakannya untuk memenggal kepala lawan. Ia amat kejam.

"Tujuh mayat ditemui terbakar dan tiga dipancung," katanya.

Beliau menyalahkan pergaduhan antara First Capital Command (PCC) dan Red Command (CV), kumpulan jenayah terbesar Brazil.

"Unit jenayah terancang PCC memberikan arahan supaya membunuh semua anggota kumpulan lawan dalam CV dalam semua penjara seluruh negara.

Satu lagi rusuhan tercetus pada Isnin di penjara di negeri Rondonia.

"Sekumpulan banduan menghalang sel lawan mereka dan membakarnya. Kami mengesyaki pertempuran antara dua unit bermusuhan.

"Pada awalnya dijangka lapan maut tetapi mayat rentung dan pihak berkuasa perubatan terpaksa mengesahkannya," kata jurucakap polis, Porto Velho.

Rusuhan ketiga berlaku petang Isnin di penjara di Sao Paolo.

Tiada laporan kematian dalam rusuhan itu, yang bermula di wad psikiatri. - AFP