BANGKOK 13 Okt - Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej, 88, mangkat di Hospital Siriraj, di sini, jam 3.52 petang tadi (waktu tempatan).

Baginda mangkat dengan tenang di Bangunan Chalermphrakiet, Hospital Siriraj di Bangkok dan pengumuman rasminya disiar di seluruh negara.

Semua ahli keluarga dan kerabat diraja ada bersama semasa kemangkatan baginda.

Baginda mangkat dalam usia 88 dan akan menyambut hari ulang tahun ke-89 pada 5 Disember tahun ini.

Baginda adalah raja ke-9 daripada Dinasti Chakri, menaiki takhta pada 9 Jun 1946 dan merupakan raja paling lama memerintah di dunia.

Seluruh rakyat sedang meraikan ulang tahun ke-70 baginda menaiki takhta tahun ini.

Rakyat mula berkumpul di Hospital Siriraj pada Selasa, dan berdoa akan kesejahteraan baginda sebaik sahaja pihak istana mengumumkan baginda dalam keadaan tidak stabil dan para doktor mula memberikan ubat.