AMERIKA SYARIKAT 13 Okt - Dua wanita yang pernah menjadi mangsa serangan seksual Donald Trump tampil menyangkal penafian calon presiden Amerika Syarikat yang dia tidak pernah berbuat demikian, susulan kenyataan lucahnya yang dirakamkan pada 2005.

Isnin lalu, Trump menerusi debat ke-2 calon presiden AS menjelaskan, dia pernah bercakap gah mengenai mencium wanita tanpa kebenaran dan menyentuh kemaluan mereka, tetapi tidak pernah melakukan perbuatan itu.

Jessica Leeds, 74, dan Rachel Crooks, 33, ketika menyaksikan penafian Trump dalam debat itu yang disiarkan secara langsung di televisyen, berang serta-merta.

Jessica yang ditemu bual New York Times di rumahnya di Manhattan berkata, Trump pernah menyentuh dadanya dan cuba meletakkan tangan di skirtnya, ketika mereka menaiki pesawat ke New York, lebih 30 tahun lalu.

Kejadian itu berlaku kira-kira 45 minit selepas pesawat berlepas walaupun mereka berdua tidak kenal satu sama lain, sebaliknya hanya penumpang yang duduk bersebelahan dalam kelas pertama.

“Dia seperti sotong kurita. Tangannya berada di merata tempat. Ia adalah satu serangan,” katanya sambil menambah, beliau kemudiannya berlari ke bahagian belakang pesawat.

Seorang lagi mangsa Trump, Rachel berkata, kejadian itu berlaku pada 2005, ketika beliau berusia 22 tahun dan bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah syarikat pembangunan serta pelaburan hartanah di Menara Trump, di Manhattan.

Ketika kejadian, mereka bertembung dalam lif dan selepas memperkenalkan diri serta berjabat tangan, Trump terus mencium pipi dan mulutnya.

“Ia tidak rasa seperti tidak sengaja, sebaliknya macam satu pencabulan. Ia tidak wajar. Saya begitu kecewa kerana dia fikir saya tidak penting sehingga boleh berbuat demikian,” katanya.

Jessica dan Rachel berkata, pengundi tidak patut mempercayai penafian Trump yang dia sekadar bercakap gah tentang meraba wanita dan menggoda isteri orang seperti dalam rakaman 11 tahun yang didedahkan minggu lalu.

Sebelum ini, beberapa wanita termasuk bekas Miss Utah, Temple Taggart mendakwa Trump pernah mencium mulutnya lebih sekali, ketika beliau menyertai pertandingan ratu cantik pada usia 21 tahun.

Ketika dihubungi New York Times, pada malam Selasa, Trump bagaimanapun menafikan semua dakwaan itu.

“Tiada satu pun pernah berlaku. Anda adalah manusia jijik,” jeritnya sambil mengugut akan mendakwa syarikat media itu, selepas menuduh wartawan sengaja melemparkan tuduhan bagi menyakitinya.

Ditanya jika dia pernah mencium atau meraba wanita, Trump berkata: “Saya tidak buatnya. Saya tidak buatnya. Ia sekadar cakap-cakap dalam bilik persalinan.”

Jessica dan Rachel tidak membuat laporan polis, tetapi pernah menceritakan kejadian itu kepada rakan dan keluarga.

“Saya sedih ia berlaku kepada orang lain, tetapi turut lega kerana tahu bukan saya sahaja yang dia pernah serang.

“Orang ramai perlu tahu. Kelakuan ini pervasif dan ia adalah benar,” kata Rachel.

Dua wanita itu menyokong kempen calon Democrat, Hillary Clinton.

Sejak rakaman mengenai kenyataan lucah Trump itu timbul, lebih 60 bekas dan pemimpin utama Republican mengutuk kenyataan berkenaan, termasuk Speaker Dewan Perwakilan, Paul Ryan dan bekas calon presiden pada 2008, John McCain.

Lebih 20 pemimpin Republican turut mendesak Trump menarik diri daripada pemilihan presiden, walaupun selepas beliau memohon maaf pada Sabtu lalu.