BAKU 10 Okt - Pemimpin Roman Katolik, Pope Francis, menggesa ketua semua agama supaya tidak menggunakan Tuhan untuk mewajarkan keganasan, dalam ceramahnya ketika melawat masjid di Azerbaijan pada Ahad.

"Dari tempat yang sangat simbolik ini, saya menyeru sekali lagi; tiada lagi keganasan atas nama Tuhan! Nama suci-Nya perlu dipuja, bukan dijadikan najis atau ditukar sebagai komoditi menerusi bentuk kebencian dan penindasan manusia.

"Tuhan tidak boleh digunakan untuk kepentingan peribadi dan diri; Dia tidak boleh digunakan untuk mewajarkan sebarang bentuk keganasan dan penjajahan," katanya dalam ucapan kepada umat Islam, Kristian, Yahudi dan penganut agama lain di masjid yang dinamakan sempena bekas Presiden Azerbaijan, Heydar Aliyev.

Francis membuat rayuan sama sebelum ini dan turut melawat masjid dalam kunjungan ke seluruh dunia.

Bagaimanapun, ucapannya kali ini adalah berbeza kerana dalam lawatan sulung ke negara itu, beliau berucap dari dalam dewan solat di masjid dengan kehadiran penganut agama lain.

Persinggahan pertama Francis sebaik tiba di ibu kota Azerbaijan, Baku, pada pagi Ahad adalah gereja moden yang disifatkannya sebagai pusat perhimpunan bagi komuniti Katolik.

Negara yang kaya dengan minyak dan gas bersempadan Russia, Iran dan Turki itu cuma mempunyai 700 penganut Kristian dalam kalangan sembilan juta rakyat yang majoritinya adalah berfahaman Syiah.

Kebanyakan mereka ialah warga asing termasuk kakitangan kedutaan dan pembantu rumah dan pekerja industri minyak dan gas. - Agensi