SEPANG 12 Okt - Mahkamah Rendah Syariah di sini memerintahkan pengarah drama, Azmi Hata membayar nafkah bulanan RM1,500 kepada anak perempuannya bersama bekas isteri yang juga penyanyi dan pelakon, Elly Mazlein.

Hakim Syarie Che Abdullah Che Hassan mengeluarkan perintah itu selepas Elly Mazlein atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 36, selesai menjalani prosedur sulh (perbincangan dalam kamar) bersama Azmi, 40, selaku defendan.

Che Abdullah juga membenarkan permohonan plaintif supaya bayaran nafkah bulanan oleh defendan dibuat setiap bulan di mana-mana Mahkamah Rendah Syariah di Selangor dan disaksikan oleh pegawai syariah.

Selain nafkah bulanan, plaintif juga memohon nafkah perayaan Aidilfitri setiap tahun berjumlah RM1,500.

Elly Mazlein yang diwakili peguam, Pa'izah Abdul Hamid memfailkan permohonan itu di sini, hari ini mengikut Seksyen 73 Enakmen Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Julai lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam memutuskan hak penjagaan anak (hadanah) diserahkan kepada Elly Mazlein, manakala Azmi yang tidak diwakili peguam pada prosiding hari ini, diberi hak lawatan sekali setiap minggu.