SHAH ALAM 14 Okt - Proton Holdings Bhd (PROTON) menyambut baik apa saja insentif yang akan dibentangkan kerajaan dalam Bajet 2017 yang dapat memperkasa dan membantu pengeluar kereta nasional itu berkembang dengan lebih cepat, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Radzaif Mohamed.

Beliau berkata, kerajaan juga diminta mengambil kira status PROTON sebagai pengeluar peralatan asli (OEM) sepenuhnya yang telah banyak membantu melahirkan tenaga kerja mahir tempatan dalam sektor automotif di negara ini.

"Kita buat penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri dan kita juga menggunakan tenaga kemahiran orang-orang tempatan dari aspek pembangunan pengetahuan.

"Saya rasa amat pentinglah jika kita dapat (sesuatu) dari aspek insentif dan yang dapat menggalakkan perkembangan industri. Ia adalah amat dihargai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang peraduan "The Proton Search 2016" di sini sebentar tadi.