SEOUL 10 Okt - Samsung Electronics Co Ltd menggantung pengeluaran telefon pintar Galaxy Note 7 susulan laporan kebakaran pada peranti gantian, demikian menurut agensi berita Korea Selatan, Yonhap yang memetik kenyataan sumber.

Keputusan menggantung pengeluaran Note 7 diambil menerusi kerjasama dengan pihak berkuasa di China dan Amerika Syarikat.

Samsung belum mengulas laporan itu.

Menurut Yonhap, keputusan itu berkemungkinan merangkumi kilang Samsung di Vietnam yang bertanggungjawab sebagai pembekal global peranti itu.

"Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keselamatan pengguna global," menurut laporan Yonhap.

Sejak minggu lalu, muncul laporan bahawa peranti gantian Note 7 yang diberikan kepada pengguna turut terbakar. - Agensi