KUALA LUMPUR 9 Okt - Bursa Malaysia dijangka menyaksikan dagangan dalam kedudukan berhati-hati minggu depan menjelang pembentangan Bajet 2017 pada 21 Oktober, kata peniaga.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidik Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata saham sektor teknologi, telekomunikasi dan pembinaan dijangka meraih manfaat hasil pembentangan Bajet 2017 itu.

"Pelabur dijangkakan mengambil sikap 'tunggu dan lihat', namun pada pandangan saya kami menjangkakan kerajaan akan memberi tumpuan ke atas ekonomi digital, bagi merangsang sumbangan ekonomi menerusi pasaran internet dan e-dagang.

"Ini termasuk saham-saham seperti MY E.G. Services Bhd, Inari Amertron Bhd dan Telekom Malaysia Bhd (TM)," katanya.

AllianceDBS Research dalam notanya berkata, Bajet 2017 akan mengandungi inisiatif mesra perniagaan dan pengguna walaupun Kerajaan Pusat menghadapi kekangan dalam perbelanjaan fiskalnya.

"Walaupun kami melihat tiada komponen besar tertentu yang disasarkan akan mengalami pemotongan perbelanjaan, kami yakin langkah penjimatan kos Bajet 2017 sama seperti pendekatan penyusunan semula Bajet 2016, dengan menangguhkan projek kurang penting," katanya.

Mengenai faktor luaran, Ketua Penyelidik Inter-Pacific Research Sdn Bhd, Pong Teng Siew, berkata kenaikan kadar faedah AS dijangka tidak dilaksanakan oleh Rizab Persekutuan AS pada mesyuarat dasar pada Disember.

"Pada pendapat saya, pertumbuhan data pekerjaan AS yang lemah, tidak memihak kepada kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan," kata Pong.

Pada Jumaat, data pekerjaan bukan ladang AS bagi September meningkat kepada 156,000, susut daripada 167,000 pekerjaan pada Ogos.

Pertumbuhan pekerjaan perlahan buat bulan ketiga berturut-turut pada September.

Bagi minggu dagangan empat hari yang baru berakhir, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI meningkat 12.83 mata kepada 1,665.38 berbanding 1,652.55 Jumaat lalu.

Mengikut perbandingan mingguan, Indeks FBM Emas Index melonjak 74.57 mata kepada 11,762.15, Indeks FBMT 100 meningkat 78.5 mata kepada 111,465.59 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 71.55 mata kepada 12,419.73.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan melonjak 112.87 mata kepada 14,271.16, Indeks Perusahaan meningkat 25.73 mata kepada 3,135.75 namun Indeks Perladangan susut 29.60 mata kepada 7,890.50.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 6.27 bilion unit bernilai RM7.39 bilion daripada 8.3 bilion unit bernilai RM9.4 bilion Jumaat sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 4.07 bilion unit bernilai RM7.05 bilion berbanding 5.54 bilion unit bernilai RM8.91 bilion minggu lalu.

Jumlah dagangan waran susut kepada 939.82 juta unit bernilai RM175.12 juta berbanding 1.44 bilion unit bernilai RM275.02 juta.

Pasaran ACE merosot kepada 1.25 bilion saham bernilai RM162.55 juta berbanding 1.29 bilion saham bernilai RM171.26 juta.

Pasaran ditutup pada Isnin sempena Awal Muharram yang jatuh pada Ahad.